www.kkoum.com
 




WANG DAN SISTEM PERBANKAN :BAB 4



 

Direktori Ilmu-Wang Dan Sistem Perbankan

   

4.1 WANG DAN SISTEM PERBANKAN

4.1.1 Takrif Wang
Untuk membolehkan sesuatu barangan dianggap sebagai wang, ia mestilah mempunyai sifat-sifat seperti diterima umum, mempunyai nilai yang stabil, tahan lama, sukar untuk ditiru, mudah untuk di bawa & boleh dibahagikan kepada unit yang lebih kecil. ( Wang boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang boleh diterima umum sebagai alat pertukaran).
4.1.2 Sifat-Sifat Wang
Sifat-sifat wang seperti berikut :
i. Disahkan pengguna oleh kerajaan
ii. Tahan lama
iii. Boleh dibahagikan
iv. Boleh di bawa kemana-mana
v. Keseragaman
vi. Diterima pakai
4.1.3 Fungsi-Fungsi Wang
Wang mempunyai 4 fungsi penting seperti :
a) Alat Perantaraan Pertukaran
- wang sangat penting dalam pembelian barang & perkhidmatan
- urus niaga barang & perkhidmatan menjadi mudah kerana sistem harga dapat dibentuk
- keadaan ini berbeza dengan system barter kerana syarat pertukaran barangan antara dua pihak ialah memerlukan kehendak yang serentak.
b) Alat Pengukuran Nilai
- pengukuran nilai sesuatu barang & perkhidmatan yang standard dengan menggunakan sistem harga boleh dibuat.
- Penilaian barang, perkhidmatan, harta kekayaan & lain-lain dibuat dengan alat pengukur yang sama iaitu wang.
c) Alat Penyimpan Nilai
- disebabkan wang adalah asset yang dapat ditukarkan dengan mudah, maka ia juga adalah sangat sesuai untuk disimpan & digunakan pada masa hadapan.
d) Alat Bayaran Tertunda
- alat bayaran tertunda ialah mereka yang terlibat dalam aktiviti ekonomi boleh membuat perjanjian untuk menyelesaikan pembayaran, akibat daripada aktiviti pembelian barangan pada masa hadapan.
- perjanjian urus niaga boleh dibuat pada masa sekarang & pembayaran dibuat pada masa hadapan.
Latihan 4.1
1. Apakah takrif wang?
Wang ialah suatu alat yang di terima umum sebagai alat pertukaran.
2. Berikan 4 fungsi wang yang utama.
a) perantaraan pertukaran
b) pengukuran nilai
c) penyimpan nilai
d) alat bayaran tertunda

4.2 INSTITUSI KEWANGAN & SISTEM PERBANKAN
Institusi kewangan di Negara ini pada masa kini terbahagi kepada 4 jenis iaitu :
a) Sistem bank
- Bank Pusat
-Bank Perdagangan
b) Institusi Kewangan Bukan Bank
- Syarikat Kewangan
- Bank Saudagar
c) Institusi Perantaraan Kewangan Bukan Bank
- Syarikat Insurans
- Bank Simpanan
- Badan-Badan Kewangan Lain
d) Bank Islam
4.2.1 Sistem Bank
a) Bank Pusat -
Bank Pusat ialah Bank Negara Malaysia (BNM). Bank Negara Malaysia telah ditubuhkan pada 26hb Januari 1959. Dimiliki & dikawal oleh kerajaan Malaysia. Institusi yang tidak bermotifkan keuntungan. Matlamat penubuhan BNM ialah :
i. Menjalankan perkhidmatan pengeluaran mata wang
- BNM sahaja mempunyai kuasa mencetak wang & menjaga nilai mata wang yang dikeluarkan
ii. Menyimpan Rizab atau cadangan yang cukup untuk mempertahankan nilai mata wang
iii. Mengawal & Menyelia segala kegiatan Institusi Kewangan
- 2 polisi utama Negara dalam mengawal aktiviti ekonomi ialah Dasar Kewangan & Dasar Fiskal.
- Dasar Kewangan dilaksanakan oleh BNM bertujuan untuk memperbaiki masalah-masalah ekonomi seperti inflasi, pengangguran atau kemelesetan ekonomi tersebut.
iv. Bertindak sebagai Juru Bank kepada Bank Perdagangan, Bank Saudagar, Institusi-Institusi Kewangan & Rumah Diskaun.
v. Bertindak sebagai Juru Bank & Penasihat kepada kerajaan.
- BNM bertanggungjawab terhadap akaun-akaun kerajaan seperti menerima bayaran & membuat pembayaran bagi pihak kerajaan & bertanggungjawab menjual & membeli aset-aset cair yang dikeluarkannya.
iv. Bertindak mewujudkan kestabilan kewangan dalam Negara dengan mewujudkan keadaan kredit yang baik.
- kerajaan menggunakan BNM sebagai badan pengawal dalam penetapan kadar bunga & syarat-syarat lain untuk memastikan suasana kewangan Negara dalam keadaan yang baik.
b) Bank Perdagangan
( Bank perdagangan ialah institusi kewangan milikan pihak swasta yang memberikan perkhidmatan kewangan dengan matlamat memperoleh keuntungan. )
Bank Perdagangan merupakan kumpulan institusi kewangan yang terpenting & terbesar dalam sesebuah Negara.
Terdapat 6 fungsi Bank Perdagangan iaitu :
i. Menerima deposit atau simpanan
- Bank Perdagangan menerima deposit atau simpanan daripada orang perseorangan & perniagaan.
- terdapat beberapa jenis deposit yang diterima oleh Bank Perdagangan seperti deposit semasa, deposit simpanan, deposit tetap & lain-lain lagi.
ii. Memberi pinjaman
- aktiviti pemberian pinjaman merupakan satu fungsi Bank Perdagangan yang penting.
- pinjaman bank dibezakan mengikut masa, iaitu sama ada jangka masa panjang atau jangka masa pendek.
- memberi pinjaman melalui 3 cara utama, melalui akuan semasa, melalui akaun pendahuluan atau overdraf & mendiskaunkan bil-bil pertukaran.
iii. Membuat atau menerima bayaran untuk pelanggan
iv. Mengeluarkan Cek Kembara & Draf Bank
- Bank Perdagangan boleh mengeluarkan Cek Kembara & Draf Bank kepada pelanggan.
- Cek Kembara merupakan cek yang dikeluarkan oleh pihak bank & boleh ditukar menjadi wang tunai.
- draf bank pula merupakan satu cek yang dikeluarkan oleh pihak bank atas permintaan para pelanggannya.
v. Menjalankan aktiviti pelaburan
- Bank Perdagangan membuat pelaburan melalui pembelian asset yang menghasilkan pulangan dalam bentuk bunga di pasaran terbuka dengan tujuan memperoleh keuntungan.
vi. Menyediakan perkhidmatan-perkhidmatan lain
- Bank Perdagangan menawarkan khidmat nasihat kepada pelanggan yang ingin membuat pelaburan.
- Bank Perdagangan juga kendalikan bayaran ansuran kereta & premium insurans para pelanggan.
- Bank ini juga bertindak sebagai pemegang amanah (tustee) dengan mentadbir harta pelanggan.
4.2.2 Institusi Kewangan Bukan Bank
i. Syarikat Kewangan

- mula beroperasi pada tahun 1960 di bawah penyeliaan Bank Negara Malaysia.
- jenis deposit yang diterima oleh syarikat kewangan ialah deposit tabungan & deposit tetap.
- ciri-ciri syarikat kewangan hampir sama dengan Bank Simpanan & memberi kemungkinan kepada orang ramai untuk membuat 2 jenis simpanan iaitu simpanan tetap & simpanan tabungan.
ii. Bank Saudagar ( Merchant Bank )
- tidak menerima simpanan daripada orang ramai.
4.2.3 Institusi Perantaraan Kewangan Bukan Bank
i. Syarikat Insurans

- mengumpul wang dalam beberapa bentuk seperti insurans nyawa, insurans terhadap kecurian, kebakaran & kemalangan.
ii. Bank Simpanan
- tidak dibenarkan untuk mengeluarkan cek
- kemudahan deposit yang ditawarkan dalam Bank Simpanan terdiri dari 2 jenis iaitu simpanan tetap & simpanan tabungan.
iii. Badan-Badan Kewangan Lain
- masih terdapat pelbagai bentuk badan kewangan lain dalam ekonomi
- peranannya tidaklah sebesar badan-badan kewangan yang diterangkan seperti KWSP.
4.2.4 Bank Islam - Telah ditubuhkan sebagai syarikat berhad di bawah Akta Syarikat 1965 pada 1hb Mac 1983.Terlibat dalam pasaran utama dengan memberikan perkhidmatan menerima deposit dari pelanggan melalui 4 jenis akaun iaitu Akaun
Tabungan, Akaun Semasa, Akaun Pelaburan & Akaun Pelaburan Khas.Terlibat dalam pembiayaan pelanggan mengikut prinsip-prinsip syariah.
Latihan 4.2
1. Apakah maksud fungsi BNM mengawal dan menyelia segala kegiatan aktiviti institusi kewangan?
Ia bermaksud BNM perlu memastikan agar system perbankan secara keseluruhan adalah baik & kukuh kerana ianya merupakan suatu keperluan bagi pertumbuhan ekonomi yang baik. Maka BNM perlu mengawal kegiatan institusi kewangan agar ianya selari dengan hasrat kerajaan.
2. Bezakan 3 jenis deposit yang diterima oleh Bank Perdagangan.
Tiga deposit yang diterima oleh bank perdagangan:
a) Deposit simpanan – tidak menggunakan kemudahan cek & simpanan dibayar bunga sebagai pulangan.
b) Deposit tetap – simpanan untuk tempoh masa tertentu & bunga diberikan. Tidak menggunakan kemudahan cek.
c) Deposit semasa – bunga tidak dibayar tetapi pendeposit diberikan kemudahan menggunakan cek.

4.3 PROSES PENCIPTAAN KREDIT - Penciptaan kredit merupakan satu fungsi Bank Perdagangan yang unik. Cara pertambahan penawaran wang ialah melalui penerimaan deposit daripada pelanggan yang mempunyai lebihan wang & pemberian kredit kepada pelanggan yang kekurangan wang. Penciptaan kredit boleh dijelaskan sebagai satu proses yang melaluinya deposit yang kecil akan menghasilkan penawaran wang yang lebih besar dalam ekonomi. Untuk menjelaskan proses penciptaan kredit oleh bank perdagangan berlaku, system bank perlu mematuhi perkara-perkara berikut:
a) Kadar lebihan rizab(Required Reserved/RR) ditetapkan oleh Bank Pusat
b) Semua lebihan rizab(Excess Reserved/ER) dipinjamkan kepada pelanggan bank
c) Semua pembelian barangan dibuat menggunakan cek
d) Semua deposit pelanggan(Total Reserve/TR) adalah dalam bentuk deposit semasa

 

4.3.1 Proses Penciptaan Kredit
Andaikan bahawa:
a) Kadar keperluan rizab (RR) ditetapkan pada kadar 10% daripada jumlah deposit (untuk semua bank)
b) Lebihan rizab (ER) diberikan sebagai pinjaman kepada pelanggan
c) Semua urus niaga menggunakan cek. Tidak ada bocoran dalam sistem bank
d) Terdapat 2 bentuk asset sahaja, iaitu rizab tunai & pinjaman
e) Terdapat banyak bank dalam sistem ekonomi & setiap pengguna menabung wang mereka dalam bank yang berbeza.
Latihan 4.3
Sekiranya BNM menetapkan kadar keperluan rizab (RR) pada kadar 25% atau 0.25 daripada jumlah deposit:
1. Berapakah pangganda deposit (deposit multiplier)?
Pengganda deposit = 1/RR = 1/0.25 = 4
2. Berapakah jumlah penawaran wang yang dapat dicipta dengan deposit awal sebanyak RM2,000.00?
4 x 2,000 = RM8,000

4.4 DASAR KEWANGAN
4.4.1 Dasar Kewangan Kuantitatif

a) Kadar keperluan Rizab yang ditetapkan
- hubungan kadar keperluan rizab tunai dengan jumlah penawaran wang adalah secara negatif.
- lebih tinggi kadar rizab tunai, lebih rendah kredit yang boleh dicipta & sebaliknya.
b) Operasi Pasaran Terbuka
- dalam operasi pasaran terbuka, BNM menjual bil perbendaharaan & sekuriti kerajaan kepada orang ramai, Firma, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja & Tabung Pencen.
- Wang hasil jualan tersebut boleh digunakan pula oleh kerajaan untuk membiayai perbelanjaannya apabila kerajaan berbelanja lebih banyak berbanding kutipan hasil cukainya (G > T)
c) Kadar Bunga & Tempoh Pembayaran Balik yang Ditetapkan
- pengguna memandang kadar bunga sebagai kos pinjaman
- semakin tinggi kadar bunga, maka semakin kurang keinginan pengguna untuk meminjam
4.4.2 Dasar Kewangan Kualitatif
Ia bertujuan untuk membuat kawalan atau memberi galakan kepada aktiviti-aktiviti dalam sektor-sektor ekonomi tertentu.
a) Pujukan Moral
- ia adalah dasar bank pusat melalui perjumpaan dengan wakil daripada bank-bank perdagangan
b) Pengawalan Pinjaman Secara Terpilih
- strategi ini lebih kepada penumpuan terhadap hala tuju pinjaman yang diberikan oleh bank-bank perdagangan
Latihan 4.4
1. Pengurus sebuah bank mengatakan kepada anda bahawa banknya tidak mencipta wang sebaliknya cuma memberi pinjaman daripada wang yang didepositkan oleh pelanggan bank. Bagaimanakah cara anda hendak menerangkan kepada beliau bahawa sebenarnya bank tersebut mencipta wang?
Penciptaan wang bukanlah merujuk kepada aktiviti percetakan wang. Ianya merujuk kepada proses penggandaan yang berlaku setiap kali kredit diberikan kepada pelanggan kerana pemberian kredit yang baru akan menambahkan jumlah bekalan wang(M1, M2 & M3) dalam pasaran. Proses penambahan bekalan wang inilah yang dimaksudkan sebagai penciptaan wang atau kredit.
2. Kerajaan mendapati industri berasaskan pertanian seperti pengeluaran padi & minyak sawit masih penting kepada perkembangan ekonomi Malaysia. Cadangkan dasar
kewangan yang boleh dibuat untuk menggalakkan perkembangan industri tersebut.
Industri berasaskan pertanian boleh dikembangkan melalui dasar kewangan dengan cara mengenakan kadar faedah yang rendah kepada peladang & petani. Dengan cara ini, dapat meningkatkan aktiviti sektor pertanian & seterusnya
meningkatkan keluaran sektor tersebut.

4.5 PERMINTAAN WANG ( Md )
Wang diminta kerana 3 tujuan utama iaitu Urus Niaga (Transaksi), Awasan & Spekulasi.
4.5.1 Tujuan Urus Niaga (Transaksi)
Wang merupakan alat pertukaran yang diterima umum untuk sesuatu urus niaga.Jumlah wang yang diminta untuk tujuan urus niaga bergantung kepada kekerapan & jumlah urus niaga (pembayaran) yang hendak dilakukan dalam sesuatu tempoh masa dan bergantung kepada jumlah pendapatan. Permintaan wang untuk tujuan urus niaga sering dianggap sebagai motif utama permintaan wang & ia boleh dirancang.
4.5.2 Tujuan Awasan
Jumlah wang untuk tujuan awasan ini bergantung kepada pendapatan.
4.5.3 Tujuan Spekulasi
Permintaan wang untuk tujuan spekulasi adalah bermotifkan keuntungan.Setelah memperuntukkan wang untuk tujuan urus niaga & awasan, orang ramai boleh memilih untuk memegang baki wang tunai mereka dengan membeli asset kewangan lain seperti saham & bon yang akan memberikan pulangan (keuntungan).
Latihan 4.5
1. Apakah yang dimaksudkan dengan permintaan wang untuk tujuan awasan?
Permintaan wang untuk awasan merujuk kepada permintaan wang untuk menghadapi keadaan yang tidak dijangka seperti kemalangan, kematian & sebagainya.
2. Apakah faktor yang mempengaruhi permintaan wang untuk tujuan awasan?
Faktor utama yang mempengaruhinya ialah tahap pendapatan seseorang.

4.6 PENAWARAN WANG
Penawaran atau bekalan wang boleh ditakrifkan kepada 3 kumpulan iaitu :
i. wang secara sempit
ii. wang secara luas
iii. wang secara sangat luas
4.6.1 Wang Secara Sempit
Bekalan wang secara sempit disebut M1, yang meliputi 2 bentuk wang, iaitu mata wang & deposit semasa
a) Mata Wang Dalam Edaran
- ia meliputi duit syiling & wang kertas yang dikeluarkan oleh Bank Negara Malaysia.
b) Deposit Semasa

- merupakan deposit yang dibuat oleh orang persendirian & sektor swasta di bank-bank perdagangan yang boleh dikeluarkan dengan menggunakan cek
4.6.2 Wang Secara Luas
Takrifan wang yang lebih luas dikenali sebagai M2, yang meliputi M1 dicampurkan dengan wang separa.Deposit SImpanan, Deposit Tetap, Sijil-sijil Bank Negara Malaysia & Sijil Deposit Boleh Niaga dipanggil wang separa kerana sifatnya yang hanya dapat memenuhi sebahagian daripada fungsi wang disebabkan ia tidak dapat diterima secara langsung dalam urus niaga.
4.6.3 Wang Secara Sangat Luas
Takrifan wang yang sangat luas dikenali sebagai M3, yang meliputi M2 dicampurkan dengan Deposit Tabungan & Deposit Tetap sektor swasta di institusi kewangan bukan bank, iaitu Bank Saudagar, Syarikat Kewangan, Syarikat Diskaun & Bank Islam.
Latihan 4.6
1. Apakah yang dimaksudkan denga deposit semasa?
Deposit semasa merujuk kepada simpanan di bank yang tidak dibayar bunga tetapi diberikan kemudahan mengeluarkan duti dengan menggunakan cek.
2. Apakah yang berlaku kepada pasaran bon & kadar bunga ketika penawaran wang melebihi permintaan wang?
Apabila penawaran wang melebihi permintaan wang maka berlaku lebihan wang dipasaran. Untuk menghapuskan lebihan wang, orang ramaiakan menggunakannya untuk membeli bon. Proses ini akan berterusan sehingga kadar bunga merosot sehingga ke tahap keseimbangan. Harga bon akan meningkat.
3. Di Negara Antah Berantah, kad pintar (smart card) menggantikan mata wang & permintaan untuk wang berkurangan. Begitu juga kad pintar yang baru tersebut telah
menyebabkan ekonomi berkembang pesat & KDNK meningkat.
a) Dengan menggunakan graf permintaan terhadap wang, lukiskan keluk permintaan wang yang baru bersesuaian dengan kesan keadaan yang dilaporkan.
b) Andaikan bank pusat di Negara itu ingin menghalang kadar bunga daripada berubah, apakah yang patut dibuat terhadap
penawaran mata wang?
Untuk mengekalkan kadar bunga bank pusat perlu mengurangkan bekalan wang dalam pasara
c) Apakah dasar kewangan yang patut dipraktikkan oleh bank pusat, dasar kewangan mengembang atau dasar kewangan menguncup?
Pengurangan bekalan wang dalam pasaran merupakan dasar kewangan menguncup.

4.7 KESEIMBANGAN PASARAN WANG DAN KADAR BUNGA
Keseimbangan pasaran wang & kadar bunga berlaku apabila keluk penawaran wang bersilang.Penawaran wang ditentukan oleh Bank Pusat.

RUMUSAN
Wang boleh ditakrifkan sebagai sesuatu yang boleh diterima umum sebagai alat pertukaran.
Sifat-sifat wang adalah diterima ramai, disahkan penggunaan oleh kerajaan, tahan lama boleh dibahagikan, boleh dibawa kemana-mana, dan keseragaman.
Empat fungsi wang yang utama ialah sebagai alat perantaraan pertukaran, alat pengukuran nilai, alat penyimpan nilai, dan alat bayaran tertunda.
Bank pusat di Malaysia ialah Bank Negara Malaysia. Fungsi-fungsinya ialah:
i. Menjalankan perkhidmatan pengeluaran mata wang.
ii. Menyimpan cukup rizab atau cadangan untuk mempertahankan nilai mata wang.
iii. Mengawal & menyelia segala kegiatan institusi kewangan
iv. Bertindak sebagai jurubank kepada Bank Perdagangan, Bank Saudagar, Institusi-institusi kewangan & Rumah Diskaun.
v. Bertindak sebagai jurubank & penasihat kewangan kepada kerajaan.
Bank Islam menyediakan perkhidmatan pinjaman mengikut prinsip syariah seperti Al-Mudharabah, Al-Musyakarah, Al-Bai Bithaman Ajil, Al-Ijarah Thumma Al-Bai.
Penciptaan kredit merupakan satu cara menambah penawaran wang dalam pasaran.
Terdapat dua dasar kewangan untuk mengawal atau mengubah kuantiti penawaran wang dalam pasaran, iaitu Dasar Kewangan Kuantitatif dan Dasar Kewangan Kualitatif
Permintaan wang biasanya mempunyai 3 tujuan utama, iaitu untuk tujuan urus niaga, tujuan awasan & tujuan spekulasi.
Penawaran wang dibahagikan kepada 3 kumpulan, iaitu wang secara sempit, wang secara luas & wang secara sangat luas.
Keseimbangan pasaran wang & kadar bunga berlaku apabila keluk permintaan wang & keluk penawaran wang bersilang.

 
 
[lebih informasi]

Hak Cipta Terpelihara © 2005. KKOUM.COM®. Bahan-bahan di laman web ini adalah untuk kegunaan persendirian sahaja.
Sebarang bentuk penyalinan, siaran, cetakan semula artikel dan gambar untuk kegunaan komersil adalah dilarang.
Sebarang pertanyaan mengenai laman web sila email ke webmaster atau hubungi talian 06-7611003