www.kkoum.com
 




KELUARAN NEGARA :BAB 2



 

Direktori Ilmu-Keluaran Negara

   

BAB 2 KELUARAN NEGARA - Keluaran Negara ialah isu makroekonomi yang paling utama.

2.1 MODAL ALIRAN PUSINGAN PENDAPATAN
( Keluaran pandapatan atau output Negara mempunyai makna yang sama, iaitu ia merujuk kepada nilai barang-barang akhir & perkhidmatan yang dihasilkan oleh sesebuah Negara bagi tempoh masa tertentu seperti satu tahun )
Latihan 2.1
1. Nyatakan perbezaan antara KDNK dengan KNK?
Perbezaan antara KNK dan KDNK ialah pendapatan bersih dari luar Negara.
KNK = KDNK + pendapatan faktor bersih dari luar Negara.
2. Suatu barang telah dikeluarkan pada tahun 2002 tetapi dijual pada tahun 2003. Dalam tahun manakah ianya akan dimasukkan bagi tujuan pengiraan KDNK?
Barang tersebut dimasukkan dalam pengiraan tahun 2002 kerana KDNK mengira nilai output yang dikeluarkan bukannya dijual.
3. Bagi Negara membangun seperti Malaysia, yang manakah nilai yang lebih tinggi? KDNK atau KNK?
Bagi Negara (sedang) membangun, nilai KDNK biasanya lebih tinggi daripada nilai KNK. Ini disebabkan oleh pelaburan asing dari luar Negara adalah lebih besar dari pelaburan rakyat tempatan ke luar Negara.

2.2 KELUARAN DALAM NEGARA KASAR
( Keluaran Negara boleh ditakrifkan sebagai nilai barang-barang akhir yang dihasilkan oleh sesebuah Negara dalam tempoh masa tertentu. )
Terdapat pelbagai konsep keluaran Negara. Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) merupakan salah satu konsep yang sering digunakan di Malaysia
( Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bermaksud nilai pasaran bagi semua barang akhir & perkhidmatan yang dikeluarkan dalam sesebuah Negara bagi tempoh masa yang tertentu )
4 eleman KDNK
a) Nilai yang Dikeluarkan
- KDNK menilai barang tersebut dengan berpandukan kepada nilai pasaran
b) Apa yang Dikeluarkan
- Pengiraan KDNK hanya mengambil kira nilai pasaran bagi barang akhir & perkhidmatan
c) Di mana Dikeluarkan
- Hanya barang-barang & perkhidmatan yang dikeluarkan dalam sesebuah negara dikira sebagai sebahagian daripada KDNK Negara tersebut seperti Malaysia
d) Bila Dikeluarkan
- KDNK mengukur nilai keluaran untuk tempoh masa tertentu. Tempoh masa tersebut kebiasaannya ialah setiap 3 bulan atau setahun
Latihan 2.2
1. Nyatakan kaedah pengiraan KDNK.
Kaedah pengiraan KDNK
a. Kaedah keluaran
b. Kaedah output
c. Kaedah perbelanjaan
2. Bagaimanakah nilai kos faktor ditukarkan kepada nilai pasaran?
Nilai kos faktor ditukarkan kepada Harga pasaran dengan menggunakan formula berikut :
( Harga pasaran = Kos faktor + cukai tak langsung – subsidi )

2.3 KELUARAN NEGARA KASAR
Keluaran Negara Kasar (KNK) juga merupakan satu lagi konsep yang sering digunakan untuk mengukur keluaran sesebuah negara.
( Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bermaksud nilai pasaran bagi semua barang akhir & perkhidmatan yang dikeluarkan dalam sesebuah Negara bagi tempoh masa yang tertentu )
(Pendapatan faktor KNK = KDNK + Pendapatan faktor pengeluaran luar Negara )
Latihan 2.3
1. Berikan jenis-jenis aktiviti yang tidak dimasukkan dalam pengiraan keluaran Negara.
Aktiviti yang tidak dimasukkan adalah seperti berikut :
a) Hasil kegiatan petani tradisional
b) Kegiatan haram
c) Kegiatan produktif yang tidak dibayar
d) Ganjaran bukan dalam bentuk wang
2. Berikan perbezaan antara KDNK benar dengan KDNK nominal.
KDNK benar dikira dengan menggunakan harga tahun asas. Asasnya, dalam pengiraaan KDNK benar dan harga tidak berubah. Hanya kuantiti barang yang dikeluarkan sahaja yang berubah. Manakala KDNK nominal pula diukur dengan
menggunakan harga tahun semasa.

2.4 KAEDAH PENGIRAAN KDNK
Terdapat 3 kaedah yang digunakan dalam proses pengiraan KDNK, iaitu Kaedah Perbelanjaan, Kaedah Keluaran & Kaedah Pendapatan.
2.4.1 Kaedah Perbelanjaan
( Kaedah perbelanjaan mencampurkan jumlah perbelanjaan dalam sesebuah Negara (oleh individu, firma dan kerajaan) terhadap barang akhir & perkhidmatan dalam tempoh masa tertentu. ) Terdapat 4 kumpulan yang membeli barang & perkhidmatan akhir iaitu Isi Rumah, Firma, Kerajaan & Pengguna Luar Negara. Perbelanjaan keempat-empat kumpulan tersebut boleh dikategorikan kepada 4 kategori iaitu :
a) Perbelanjaan penggunaan
- nilai perbelanjaan oleh isi rumah terhadap penggunaan barang akhir & perkhidmatan
- meliputi perbelanjaan barang makanan, perkhidmatan dobi, sewa rumah & sebagainya.
b) Pelaburan
- pembelian barang modal yang baru seperti peralatan kilang, mesin pembuatan, bangunan & alat bina yang lain & juga tambahan kepada inventori
- keluaran yang tidak dapat dijual akan memberi nilai tambahan inventori & nilai ini diambil kira sebagai pelaburan
c) Perbelanjaan kerajaan ke atas barang akhir
- perbelanjaan yang dibuat oleh kerajaan terhadap barang & perkhidmatan yang diperolehi daripada pihak swasta
d) Perkhidmatan & eksport bersih
- eksport bersih ialah nilai eksport ditolak dengan nilai import bagi barang & perkhidmatan yang didagangkan
Jumlah perbelanjaan untuk barang akhir & perkhidmatan yang dikeluarkan sesebuah Negara ialah hasil campur keempat-empat perbelanjaan
yang disenaraikan berikut ;
* perbelanjaan penggunaan = C
* pelaburan = I
* perbelanjaan kerajaan = G
* eksport bersih = X – M
( Jumlah perbelanjaan = C + I + G + (X-M) = KDNK )

2.4.2 Kaedah Keluaran - Sektor ekonomi dibahagikan kepada 3 kumpulan iaitu Sektor Utama, Sektor Industri & Sektor Perkhidmatan. Melalui kaedah ini, konsep nilai di tambah digunakan bagi mengelakkan masalah kiraan dua kali. Masalah kiraan dua kali ialah keadaan di mana nilai sesuatu barang dikira melebihi satu kali dalam proses pengiraan KDNK.

2.4.3 Kaedah Pendapatan - Pengiraan KDNK mengikut kaedah pendapatan diperolehi dengan mencampurkan semua pendapatan yang diterima oleh pemilik sumber
pengeluaran (buruh, tanah, modal & usahawan).Kaedah ini membahagikan pendapatan kepada 5 kategori;
a) Pampasan Kerja
- merupakan bayaran yang dibuat kepada buruh
- meliputi upah bersih dan gaji dicampurkan dengan faedah-faedah lain seperti insuran kesihatan, sumbangan sekuriti
sosial & sumbangan tabung pencen.
b) Bunga Bersih
- merupakan bayaran bunga yang diterima oleh isi rumah bagi pinjaman yang diberikan (wang yang disimpan)
c) Pendapatan Sewa
- merupakan bayaran yang diterima bagi penggunaan tanah & input-input lain.
- meliputi bayaran sewa rumah & sewa tertaksir (sewa tertaksir ialah anggaran nilai sewa yang sepatutnya dibayar bagi mereka yang mendiami rumah milik sendiri)
d) Untung Korporat
- merupakan mereka yang menjalankan perniagaan sendiri
- dibayar sebagai dividen & untung yang tidak dibahagi kira sebagai pendapatan.
e) Pendapatan Pengusaha Persendirian
- merupakan mereka yang menjalankan perniagaan sendiri.
- ia terdiri daripada gabungan keempat-empat sumber pendapatan di atas.
- sukar dibahagikan kepada pampasan pekerja, pendapatan sewa & untung.

 

Latihan 2.4
1. Apakah kegunaan data keluaran Negara?
Kegunaan data keluaran Negara :
a) Mengukur prestasi ekonomi
b) Sebagai input kepada penggubal dasar
c) Petunjuk keberkesanan dasar yang dijalankan
d) Mengukur taraf hidup rakyat
e) Menilai sumbangan sector ekonomi
2. Apakah fator yang mempengaruhi tahap pengeluaran Negara?
Terdapat 2 faktor yang mempengaruhi tahap pengeluaran Negara :
a) Faktor dalaman seperti pemilikan sumber semula jadi, guna tenaga yang rajin & modal
b) Faktor luaran seperti pelaburan asing, kadar syarat perdagangan & bantuan dari luar.

2.5 PENYELARASAN KOS FAKTOR KEPADA HARGA PASARAN - Cukai tidak langsung & subsidi membezakan harga pasaran & kos faktor.Cukai jualan menyebabkan harga pasaran lebih tinggi daripada kos faktor manakala subsidi pula enyebabkan kos faktor lebih besar daripada harga pasaran. Untuk menukarkan kos faktor kepada harga pasaran, cukai tak langsung perlu ditambah dan subsidi pelu ditolak ataupun
( Kos Faktor + (cukai tak langsung – subsidi) = Harga Pasaran )
Latihan 2.5
1. Terdapat pelbagai masalah yang terpaksa dilalui dalam proses pengiraan keluaran Negara. Cuba anda nyatakan masalah-masalah tersebut yang sering wujud. Masalah pengiraan keluaran Negara
a) Pengumpulan maklumat
b) Pengiraan 2 kali
c) Penentuan harga barang
d) Pengiraan susun nilai
2. Berikan takrif kitaran perniagaan
Kitaran perniagaan merujuk kepada perubahan aktiviti ekonomi terutamanya keluaran Negara & guna tenaga.

2.6 AKTIVITI EKONOMI YANG TIDAK DIMASUKKAN - Hanya nilai keluaran daripada aktiviti ekonomi yang produktif & sah dari sudut undang-undang serta dipasarkan diambil kira.
2.6.1 Hasil Pertanian Petani Tradisional - Dalam kegiatan pertanian sara diri, sebahagian output dihasilkan adalah untuk kegunaan sendiri sahaja. Kegiatan ekonomi tersebut adalah produktif namun ia tidak dipasarkan. Kegiatan ini tidak dimasukkan dalam pengiraan KDNK.
2.6.2 Kegiatan Haram - Kegiatan haram seperti pengedaran dadah, aktiviti pelacuran & sebagainya merupakan aktiviti yang produktif namun ia tidak diambil kira dalam pengiraan KDNK kerana ia merupakan kegiatan yang salah disisi undang-undang.
2.6.3 Kegiatan Produktif Yang Tidak Dibayar - Kerja-kerja di rumah yang dilakukan oleh suri rumah adalah tidak dibayar sekaligus menjadikannya sukar untuk di nilai & ia juga tidak
dimasukkan dalam pengiraan KDNK.
2.6.4 Ganjaran Bukan Dalam Bentuk Wang - Ia tidak dimasukkan dalam pengiraan KDNK.

2.7 KDNK BENAR & NOMINAL
( KDNK Benar bermaksud nilai KDNK yang tidak mempunyai elemen perubahan harga dalam pengiraannya & diukur berdasarkan kepada harga yang tetap. Manakala KDNK Nominal pula mengukur nilai output sesebuah Negara berdasarkan harga tahunan semasa. Perubahan harga akan memberikan kesan terhadap nilai KDNK )

2.8 KEGUNAAN DATA KELUARAN NEGARA - Mencerminkan kegiatan ekonomi sesebuah Negara secara keseluruhan.Antara 5 kegunaan data keluaran Negara
a) Mengukur Prestasi Ekonomi
b) Memudahkan Pihak Penggubal Dasar Membuat Perancangan - pihak penggubal dasar memerlukan maklumat keluaran Negara untuk menggubal dasar ekonomi
c) Penunjuk Kejayaan Atau Kegagalan Dasar Kerajaan
- kerajaan dapat menilai keberkesanan dasar ekonomi yang telah dilaksanakan melalui maklumat keluaran Negara
d) Mengukur Taraf Hidup Rakyat - data keluaran Negara merupakan salah satu maklumat yang digunakan untuk menilai taraf hidup rakyat sesebuah Negara.
- nilai KNK & KDNK Benar Perkapita digunakan sebagai ukuran.
e) Menilai sumbangan sektor ekonomi kepada ekonomi Negara
- sumbangan setiap sektor ekonomi kepada pertumbuhan ekonomi secara keseluruhan boleh dinilai.

2.9 FAKTOR YANG MEMPENGARUHI TAHAP KELUARAN NEGARA

2.9.1 Faktor Dalaman - Faktor dalaman yang menentukan tahap keluaran Negara ialah pengurniaan sumber semulajadi seperti Petroleum & Gas.Faktor guna tenaga menyumbang kepada penentuan keluaran Negara.Jumlah modal yang dimiliki oleh sesebuah Negara juga mempengaruhi tahap keluaran Negara.
2.9.2 Faktor Luaran - Pelaburan asing memainkan peranan yang penting dalam mempengaruhi tingkat pendapatan & pertumbuhan ekonomi sesebuah Negara.Kadar syarat perdagangan juga mempengaruhi pendapatan sesebuah Negara. (Kadar syarat perdagangan merujuk kepada nisbah kuantiti barang yang ditukar dengan Negara lain)

2.10 MASALAH PENGIRAAN KELUARAN NEGARA
Pengiraan keluaran Negara merupakan sesuatu proses yang rumit & pelbagai masalah sering timbul dalam proses ini. 4 masalah yang sering berlaku dalam proses pengiraan keluaran negara
a) Pengumpulan Maklumat
- merupakan sesuatu yang sukar kerana terdapat pihak-pihak tertentu seperti peniaga kecil & petani tidak menyimpan rekod
yang lengkap tentang kegiatan ekonomi.
- nilai keluaran yang diperolehi hanyalah berdasarkan kepada anggaran.
b) Masalah Pengiraan Dua Kali
- masalah membezakan antara barang akhir dengan barang perantaraan ia akan menyebabkan berlaku masalah pengiraan dua kali
c) Menentukan Harga Barang-barang
- harga barangan adalah berbeze-beza mengikut kawasan.
- kesulitan akan berlaku dalam menentukan harga yang harus dipilih.
d) Susut Nilai
- pengiraan susut nilai adalah sesuatu yang sukar kerana tiada rekod yang lengkap tentang susut nilai bagi sesetengah
kegiatan ekonomi.
- terdapat beberapa kaedah pengiraan susut nilai yang berbeza antara satu sama lain & setiap kaedah memberikan nilai yang berlainan.

2.11 KITARAN PERNIAGAAN
( Kitaran perniagaan boleh ditakrifkan sebagai perubahan dalam keluaran Negara dan guna tenaga. ) Kitaran perniagaan dibahagikan kepada 5 fasa utama iaitu Kemuncak, Kawal, Pemulihan, Pengembangan & Kemelesetan.

RUMUSAN

Dalam bab ini telah membincangkan pemboleh ubah ekonomi yang penting iaitu Keluaran Negara.

Terdapat pelbagai kaedah untuk mengukur Keluaran Dalam Negara Kasar seperti Kaedah Perbelanjaan, Keluaran & Pendapatan.

Model aliran pusingan pendapatan digunakan sebagai alat untuk menerangkan perkaitan antara pendapatan dengan perbelanjaan.

Ia juga membincangkan tentang isu yang berkaitan seperti halangan dalam pengiraan, kegunaannya & faktor yang mempengaruhi tahap
pendapatan Negara.

Perbezaan antara data Nominal & Benar juga dihuraikan.

   
 
[lebih informasi]

Hak Cipta Terpelihara © 2005. KKOUM.COM®. Bahan-bahan di laman web ini adalah untuk kegunaan persendirian sahaja.
Sebarang bentuk penyalinan, siaran, cetakan semula artikel dan gambar untuk kegunaan komersil adalah dilarang.
Sebarang pertanyaan mengenai laman web sila email ke webmaster atau hubungi talian 06-7611003